MENTERI Pertahanan, Mohamad Sabu atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu diumumkan sebagai presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) buat penggal kedua.
Keputusan yang dibuat Jawatankuasa Pimpinan Nasional parti AMANAH bagi sesi 2019-2022 itu diumum speaker persidangan, Onn Jaafar dalam Konvensyen Amanah Nasional 2019 di Shah Alam baru-baru ini.
Susulan itu, Mat Sabu akan terus memimpin parti itu untuk sehingga 2022.
Sementara itu, beberapa pemimpin sedia ada turut mengekalkan kedudukan mereka, Salahuddin Ayub diberi kepercayaan menjawat jawatan timbalan presiden untuk penggal kedua.
Mahfuz Omar diangkat sebagai naib presiden baru selain mengekalkan Dr Mujahid Yusuf dan Hasanuddin Mohd Yunus.
Semalam, 27 Ahli Jawatankuasa (AJK) Pimpinan Nasional dipilih pada Konvensyen Nasional 2019.
Mengikut perlembagaan parti, sebaik keputusan pemilihan diumumkan, speaker hendaklah memanggil satu mesyuarat dalam kalangan 27 orang yang dipilih bersama ketua sayap dan 14 pengerusi negeri.
Mesyuarat malam tadi memilih pemegang jawatan presiden, timbalan presiden dan tidak lebih tiga naib presiden dalam kalangan 27 AJK Pimpinan Nasional Amanah.
Presiden pula diberi kuasa melantik tidak lebih dua naib presiden dan beberapa jawatan lain dalam kalangan 27 AJK Pimpinan Nasional Amanah.
0 Comments