Ketua Hakim Syarie Kelantan meninggal dunia


KETUA
Hakim Syarie Kelantan, Datuk Daud Muhammad, 84, dilapor meninggal dunia jam 6.55 semalam.

Berita itu disahkan  Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), Zulkifle Ab Rahman.

Zulkifli berkata, Allahyarham meninggal dunia di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) dan jenazah dikebumikan di Lundang  malam tadi.

Sebagai rekod, Daud dilahirkan di Kota Bharu dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Arab, Indera Putera, Bachok, Kelantan dan Madrasah Al-Falah, Makkah serta Saudi Al-Maahad Al-Ilmi, Al-Saudi, Makkah.

Semasa hayatnya Allahyarham banyak memberikan sumbangan antaranya menjadi panel dan pakar rujuk komuniti syariah Jabatan Peguam Negara serta panel Hakim Mahkamah Rayuan.

Allahyarham dilantik sebagai Ketua Hakim Syarie Kelantan sejak 1989 dan adalah penerima Anugerah Perdana Maulidur Rasul 2019 Peringkat Kebangsaan.

Antara sumbangan Allahyarham ialah menjadi panel dan pakar rujuk komuniti syariah Jabatan Peguam Negara, panel Hakim Mahkamah Rayuan serta Ahli MAIK.

Sementara itu, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob, turut berkongsi berita sedih berkenaan, sekali gus mengucapkan takziah kepada keluarga dan seluruh warga Jabatan Kehakiman Syariah Kelantan melalui Facebook rasminya.

“Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan para solehin,” katanya.

Post a Comment

0 Comments