GOLONGAN Pendakwa terutama yang dilahirkan melalui program realiti televisyen digesa berhenti menggunakan gelaran bersifat agama demi memenuhi agenda dan kepentingan sendiri.
Seorang peserta Pencetus Ummah (PU) Amin berkata golongan itu seharusnya memelihara kehormatan gelaran itu dengan menjalankan kerja agama.
“Hati ini takut dan risau dengan apa yang berlaku pada pendakwah hari ini, pelbagai ujian dan halangan terpaksa dihadapi.
“Berhentilah daripada menggunakan agama untuk kesenangan diri sendiri, berhenti guna nama ustaz untuk memuliakan diri.
“Bertaubatlah dan kembalilah pada jalan agama yang sebenar wahai para pendakwah dan ustaz,” katanya di akaun Instagram miliknya.
Amin tidak menyatakan secara khusus individu yang dimaksudkannya itu, namun ia dipercayai dibuat susulan isu berkaitan PU Abu dan Da'i Farhan yang terpalit isu rumah tangga baru-baru ini.
Difahamkan, beberapa kenyataan dibuat kedua-dua individu itu menyebabkan segelintir netizen mula memberi pandangan serong terhadap kerjaya mereka sebagai pendakwah.
Pada masa sama, Amin atau nama penuhnya Mohammad Amirul Amin Maula Lokman Hakim berkata, penyalahgunaan gelaran pendakwah dan ustaz dibimbangi menyebabkan masyarakat hilang kepercayaan terhadap individu yang benar-benar ikhlas melaksanakan tanggungjawab mereka demi agama.
“Buat para pendakwah peliharalah diri dari kejahatan dan kesilapan, lihatlah apa yang berlaku, kerana ketelanjuran satu atau dua orang manusia yang memakai topeng pendakwah akhirnya merosakkan nama dan tugas pendakwah itu sendiri.
“Jangan kerana kita yang tidak menjaga nama pendakwah atau ustaz itu maka boleh menyebabkan hilang kepercayaan masyarakat pada pendakwah dan ustaz ustaz yang lain,” katanya dipetik laporan media.
0 Comments