ZOO Taiping & Night Safari kini menerima ahli baharu apabila seekor kuda belang dilahirkan.
Majlis Perbandaran Taiping dalam satu kenyataan berkata, anak kuda itu yang lahir antara jam 3 dan 4 pagi pada Jumaat, dianggarkan seberat 7 kilogram dan berada dalam keadaan sihat.
Sebagai rekod, ia merupakan anak kuda belang kedua dilahirkan di zoo itu dalam tempoh dua tahun. pada 11 November tahun lalu, kuda belang itu melahirkan anak betina yang kini dilihat aktif bersama keluarganya.
Difahamkan, induk betina telah berada di Zoo Taiping sejak tujuh tahun lalu . sementara kuda belang jantan pula dipinjamkan dari Zoo Negara untuk program pembiakan.
“Kini, anak kuda belang yang belum dikenal pasti jantinanya itu sudah boleh berdiri dan berlari-lari sambil diiringi oleh ibunya.
“Sesekali kelihatan si ibu menjilat-jilat badan anaknya, untuk membersihkan dan juga membantu memanaskan badan anaknya itu,” katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, dengan kelahiran terbaru itu menjadikan jumlah keseluruhan kuda belang di Zoo Taiping & Night Safari sebanyak empat ekor.
Orang ramai, khususnya pengunjung, boleh melihat gelagat keluarga kuda belang ini dengan ahli baru mereka di pameran Savanna Afrika.