Dewan Rakyat lulus RUU caruman KWSP untuk isteri



KEBAJIKAN golongan suri rumah tangga di negara ini kini semakin terjamin.

Ia susulan keputusan untuk meluluskan  Rang Undang-Undang (RUU) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) (Pindaan) 2019 bagi membolehkan suami memindahkan caruman dua peratus kepada isteri pada persidangan Dewan Rakyat selepas mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen melalui undian suara.

Timbalan Speaker, Nga Kor Ming mengumumkan keputusan itu selepas RUU KWSP (Pindaan) 2019 dibentangkan untuk bacaan kali ketiga oleh Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah.

Menerusi RUU itu, suami kini boleh memindahkan carumannya sebanyak dua peratus ke akaun seorang atau ramai isteri yang sah, secara sukarela dengan ia akan terhenti sekiranya berlaku perceraian atau kematian.

Amiruddin berkata, skim berkenaan dibuat bagi memberi perlindungan kepada isteri yang tidak bekerja dengan potongan caruman hanya akan dibuat sekiranya terdapat permohonan dikemukakan suami.

Bagaimanapun, katanya, skim berkenaan tidak terpakai terhadap mana-mana isteri yang bekerja dan berhasrat untuk memindahkan caruman KWSP dalam jumlah sama kepada suami mereka.

“Pemindahan caruman ini bergantung kepada maklumat diberikan suami dan akan berterusan sehingga pihak suami memberi dokumen tambahan untuk memaklumkan sama ada pasangannya meninggal dunia atau bercerai.

“Potongan bagi skim ini akan dibuat sejurus caruman daripada pihak majikan suami diterima oleh KWSP, selain tiada tindakan dikenakan kepada suami sekiranya berlaku kelewatan caruman,” kata dipetik laporan BH Online.
 

Post a Comment

0 Comments