Bas terjun gaung, 25 penumpang terbunuh


SEKURANG-KURANGNYA
25 penumpang sebuah bas maut manakala 13 lagi cedera apabila kenderaan dinaiki mereka terjunam ke dalam gaung di Palembang, Indonesia.

Agensi berita Antara berkata, bas berkenaan jatuh ke dalam gaung setinggi 150 meter di wilayah Sumatera Selatan lewat malam Isnin.

Jurucakap polis berkata, bangkai bas berkenaan ditemukan di dasar sungai dengan beberapa mangsa masih terperangkap di dalam bas berkenaan.

“Ia terjunam ke dalam gaung selepas melanggar penghadang jalan konkrit,” kata Dolly Gumara.

Tambah agensi berita itu lagi, bas dikendalikan oleh syarikat Sriwijaya itu dalam perjalanan ke Dempo Tengah di Bandar Pagaralam, Sumatera ketika nahas berlaku. Tiada kenderaan lain yang terlibat.

Mangsa yang terselamat dan tercedera dihantar ke Hospital Basemah Pagaralam, manakala polis sedang berusaha untuk menyelamatkan dan mencari mangsa yang belum ditemui.

Difahamkan, standard keselamatan serta infrastruktur jalan yang lemah di beberapa kawasan pedalaman menjadi punca berlaku banyak kemalangan jalanraya di negara jiran itu.

Pada September lalu, sekurang-kurangnya 21 orang dilapor meninggal dunia selepas sebuah bas terjunam ke dalam gaung di Sukabumi di wilayah Jawa Barat.

Beberapa bulan sebelumnya, 12 orang maut dan ramai yang lain cedera selepas seorang penumpang dikatakan cuba bergelut dengan pemandu sehingga bas berkenaan hilang kawalan di jalan sama di Jawa Barat.
 

Post a Comment

0 Comments