TIADA walau sesen pun daripada dana RM31 juta Yayasan Akalbudi disalurkan untuk membantu golongan miskin dan memerlukan ketika ia diterajui presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi.
Demikian didedahkan Timbalan Pendakwa Raya Raja Rozela Raja Toran dalam ucapan pembukaannya ketika perbicaraan pecah amanah membabitkan Zahid di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur siang tadi.
Tambah Raja Rozela, pendakwaan akan membuktikan bahawa Ahmad Zahid telah menyeleweng kira-kira RM31 juta dana milik Yayasan itu.
“Jejak aliran tunai akan dibentangkan di mahkamah bagi mendedahkan bahawa tidak ada satu sen pun daripada RM31 juta itu digunakan untuk kepentingan orang miskin.
“Sebaliknya, jejak aliran tunai akan mendedahkan satu amaun besar digunakan untuk, antara lain, membayar bil kredit kad peribadi, membeli polisi insurans kenderaan-bermotor dan membeli cukai jalan untuk kenderaan milik peribadi,” katanya.
Yayasan Akalbudi diterajui Zahid merupakan sebuah organisasi pertubuhan diperbadankan, yang ditubuhkan bagi membantu golongan miskin dan memerlukan.
Selain itu tambah Raja Rozela, pihaknya akan membuktikan Zahid menerima RM17 juta sebagai sogokan membabitkan projek MyEG.
Zahid juga tegasnya akan dibuktikan terbabit jenayah pengubahan wang haram dimana beliau telah menerima cek bernilai RM65 juta yang sebahagiannya digunakan untuk membeli dua unit banglo bernilai RM5.9 juta.
“Keterangan saksi dan bukti dokumentari akan dikemukakan untuk menunjukkan bahawa tertuduh tahu atau mempunyai sebab untuk tahu bahawa jutaan ringgit yang diterimanya adalah hasil aktiviti haram,” katanya.
Terdahulu, Ahmad Zahid dihadapkan ke mahkamah atas puluhan tuduhan jenayah.
Pertuduhan-pertuduhan tersebut dijalankan di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan (CBT), Seksyen 16 (1)(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2019 (rasuah), dan Seksyen 4 (1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Amlatfapua).
0 Comments