SEBAGAI menghargai jasa penjawat awam di Melaka, kerajaan negeri mengumumkan pemberian Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM1,000 buat 5,300 kakitangannya.
Berita gembira yang membabitkan peruntukan sebanyak RM5.3 juta itu diumumkan Ketua Menteri, Adly Zahari ketika membentangkan Belanjawan 2020 negeri hari ini.
Menurut Adly, bantuan khas berkenaan yang akan dibayar pada Disember depan diberikan sebagai tanda terima kasih kepada penjawat awam di atas komitmen yang ditunjukkan mereka dalam menjalankan dasar-dasar negeri seterusnya membawa kepada kemajuan di negeri itu.
“Melaka ini setelah Pakatan Harapan (HARAPAN) mengambil alih memang penjawat awam menunjukkan komitmen yang tidak berbelah bahagi.
"Banyak dasar-dasar kerajaan negeri dan manisfesto kerajaan negeri dapat diterjemahkan ini sebenarnya adalah hasil usaha pentadbiran awam itu sendiri,” katanya ketika ditemui selepas Persidangan Ketiga (Bajet), Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka ke-14, di Seri Negeri, Ayer Keroh.
Terdahulu, Perak turut mengumumkan bantuan Khas Kewangan sebanyak sebulan gaji atau minimum RM2,000 kepada lebih 10,000 penjawat awam dan Orang Besar Jajahan di negeri itu.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, pemberian Bantuan Khas Kewangan itu bagi menghargai komitmen dan kerjasama yang diberikan kepada pelaksana negeri.
“Bantuan itu akan dibayar sepenuhnya sebelum berakhir tahun 2019,” katanya semasa membentangkan Belanjawan 2020 Perak minggu lalu.
Selain penjawat awam, Kerajaan negeri turut mengumumkan Bantuan Khas Kewangan RM1,000 turut diberikan kepada Guru Sandaran Tidak Terlatih, pekerja sambilan harian dan guru tadika Islam Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk).
“Imam, bilal, siak, ketua kampung serta tok batin turut menerima Bantuan Khas Kewangan RM1,000 ini,” katanya lagi.
0 Comments