MUSUH politik Pakatan Harapan (HARAPAN) dilihat berada dalam keadaan terdesak untuk menang pada Pilihan raya Kecil (PRK) Tanjung Piai hujung minggu ini.
Pengarah Komunikasi KEADILAN Fahmi Fadzil mendakwa mereka telah mengedarkan surat palsu yang meminta pendokong parti KEADILAN agar tidak keluar mengundi pada esok.
Fahmi berkata surat palsu itu cuba menggambarkan bahawa ia ditandatangani oleh setiausaha agung parti Saifuddin Nasution Ismail.
"Surat ini jelas direkayasa musuh politik HARAPAN yang mahu mencetus salah faham di kalangan anggota KEADILAN dan rakan-rakan HARAPAN.
"Ia adalah tindakan kotor lagi terdesak puak-puak yang enggan berpolitik secara sihat," katanya dalam kenyataan media sebentar tadi.
Sementara itu, Fahmi sekali lagi mengulangi komitmen anggota KEADILAN terhadap calon HARAPAN, Karmaine Sardini.
Sehubungan itu, beliau menggesa semua ahli dan jentera membantu memastikan kemenangan Karmaine di kerusi tersebut.
Malaysiakini dalam laporannya berkata, surat palsu disebarkan itu mengandungi pesanan atas arahan presiden Anwar Ibrahim perintah kepada anggota untuk tidak mengundi.
Kononnya ia bagi memberi tekanan politik kepada (Perdana Menteri) Dr Mahathir Mohamad supaya mematuhi perjanjian penyerahan kuasa.
Menurut portal itu lagi, surat itu juga hadir ketika ketegangan antara kem Anwar dan Timbalan Presiden PKR Azmin Ali diteruskan lagi dengan pembatalan surat jemputan untuk Azmin merasmikan kongres kebangsaan Angkatan Muda KEADILAN (AMK) pada bulan depan.
0 Comments