Rafizi terlepas hukuman penjara



NAIB Presiden KEADILAN, Rafizi Ramli dibebaskan dari hukuman penjara 30 bulan yang dikenakan terhadapnya sebelum ini.

Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Yazid Mustafa membuat keputusan itu pada rayuan akhir dikemuka Rafizi dan bekas kerani Public Bank Johari Mohamad yang sebelum ini dituduh melanggar Akta Perbankan dan Institusi Kewangan (Bafia) apabila mendedahkan data perbankan dari akaun National Feedlot Corporation (NFC) dan pengerusinya Mohd Salleh Ismail pada tahun 2012.

Mohd Yazid memutuskan bahawa beliau membenarkan permohonan Rafizi kerana pendakwaan gagal mengemukakan dokumen asal sebagai keterangan dalam perbicaraan, yang merupakan syarat di bawah Seksyen 61 Akta Keterangan.

Beliau berkata salinan siaran akhbar yang dikeluarkan semasa perbicaraan itu adalah "jelas bukti sekunder", dan hanya boleh diterima di bawah peruntukan gabungan Seksyen 65 dan Seksyen 63 (b) Akta Keterangan 1950.

Justeru kata Yazid, ia tidak boleh dijadikan bukti jika penjelasan tidak diberikan tentang kenapa dokumen asal tidak dikemukakan di mahkamah.

"Oleh itu, pihak pendakwaan sepatutnya memanggil seorang saksi untuk memberi keterangan bahawa pencarian yang mencukupi dilakukan bagi mendapatkan dokumen asal P4.

"Selain itu, saksi harus memberikan penjelasan tentang bagaimana dokumen asal P4 hilang atau tidak dapat dijumpai.

"Pihak pendakwa telah memanggil pegawai bank untuk memberi keterangan, bagaimanapun, keterangan saksi gagal memenuhi persyaratan di atas agar P4 diterima di bawah syarat-syarat di atas.

"Tanpa bukti ini, dokumen ini P4 dan lampirannya (bertanda) A hingga D tidak boleh diterima di bawah Seksyen 65 (1) (c) Akta Keterangan," kata hakim itu dalam keputusannya seperti laporan Malaysiakini.

Pada Febuari 2018, Rafizi ketika itu merupakan Ahli Parlimen Pandan dan Johari  dijatuhkan hukuman penjara 30 bulan oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Rafizi sebelum ini membuat pendedahan berhubung penyelewengan dana NFC oleh keluarga seorang pemimpin Umno termasuk melalui pendedahan beberapa dokumen bank.

Post a Comment

0 Comments