SARANAN Ketua Pembangkang, Ismail Sabri Yaakob agar Pakatan harapan (HARAPAN) membubarkan Parlimen susulan kemenangan Barisan Nasional Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai ditempelak.
Penganalisis politik, Prof Madya Hamidin Abd Hamid yang dipetik Awani berkata, saranan itu tidak kena tempat malah tidak membuktikan kejayaan Muafakat Nasional seperti didakwa.
“Pembubaran Parlimen yang diminta Ketua Pembangkang suatu yang tidak kena pada tempatnya," ujarnya.
Tambah Hamidin lagi, HARAPAN tidak melihat kekalahan di Tanjung Piai sebagai satu tanda mereka sudah tewas sehingga memerlukan pembubaran Parlimen.
Malah kekelahan itu tambahnya bakal membawa perubahan positif dalam pentadbiran kerajaan itu kerana mereka akan menilai dan memperbetul kesilapan mereka yang membawa kekalahan pada PRK itu.
“Mereka akan lihat kembali dan mereka perlu melihatnya secara telus dan jujur apakah kelemahan dan apakah kesilapan serta apa yang mereka perlu lakukan untuk memastikan pentadbiran kerajaan HARAPAN ini memberi nafas baru kepada rakyat Malaysia.
“Bagi BN pula, kemenangan Tanjung Piai itu tidak semestinya bukti kejayaan Muafakat Nasional yang sehingga kini masih lagi tidak mempunyai rencana yang jelas,” katanya mengulas lanjut.
Ismail membuat gesaan supaya Parlimen dibubarkan pada Ahad, katanya kemenangan calon MCA pada PRK itu tanda penerimaan rakyat bermasyarakat majmuk terhadap agenda penyatuan ummah.
0 Comments