PERSIAPAN untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak akan menjadi antara agenda utama yang akan dibincangkan dalam Konvensyen Parti KEADILAN Rakyat (KEADILAN) Sabtu ini.
Ahli Parlimen Miri, Dr Michael Teo Yu Keng berkata, selain itu konvensyen yang dijadualkan berlangsung di sebuah hotel di sini nanti akan turut meraikan sambutan ulang tahun ke-20 penubuhan parti.
“Lebih 1,000 perwakilan akan menghadiri konvensyen itu, yang dijangka akan dirasmikan oleh Presiden Parti Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya dipetik laporan bernama.
Sehubungan itu katanya surat jemputan ke konvensyen sehari itu sudah pun dihantar kepada pemimpin-pemimpin KEADILAN dan juga ahli parti.
Untuk rekod, ketika ini Pakatan Harapan (HARAPAN) mempunyai 10 Ahli Dewan Undangan Negeri Sarawak, dengan tujuh daripadanya adalah dari DAP manakala tiga lagi dari KEADILAN.
Sebelum ini, Konvensyen parti itu di Sarawak berdepan masalah apabila Pengerusinya, Baru Bian membuat ugutan Konvensyen yang dijadualkan 23 November ini di Miri, terbatal sekiranya isu membabitkan pemilihan pemimpin kontroversi parti itu, Mohammed Azmin Ali dalam isu perasmian kongres sayap pemudanya tidak diselesaikan.
BACA: Ugut batal konvensyen, Saifuddin selar penyokong Azmin
Bagaimanapun, persediaan yang telah dilaksana serta kehendak ahli akar umbi yang mahu konvensyen itu diteruskan, Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi lampu hijau dan mengarahkan agar konvensyen itu diteruskan.
Sebagai rekod, PRN Sarawak dijangka bakal diadakan pada 2021.
0 Comments