Mahkamah arah Najib bela diri


NAJIB RAZAK
, bekas perdana menteri yang ditumbangkan pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu diarah membela diri atas tujuh tuduhan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohd Nazlan Mohd Ghazali, membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya mewujudkan prima facie bagi semua tuduhan tersebut.

Mohd Nazlan menetapkan 3, 4, 9 hingga 12 dan 16 hingga 19 Dis ini untuk Najib dibicarakan.

Di hujung keputusannya Mohd Nazlan berkata, beliau mendapati pihak pendakwaan berjaya menunjukkan bukti yang kredibel berhubung tuduhan pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram.

Najib menurutnya lagi memainkan peranan dalam pinjaman SRC daripada Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) pada 2011.

"Ini bermakna teruduh mesti membela diri bagi semua tuduhan yang dikenakan ke atasnya," kata beliau.


Tuduhan terhadap Najib membabitkan dana sebanyak RM42 juta dari SRC international yang dia didakwa menggunakannya untuk kepentingan sendiri.

Jika didapati bersalah, Najib berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali ganda daripada nilai suapan.

Terdahulu pihak pendakwaan selesai menggulung penghujahan pada 27 Ogos lalu selepas Najib mula dibicarakan 3 April.

Seramai 57 saksi dipanggil memberi kenyataan, termasuk bekas pengurus perhubungan awam AmBank Bhd, Joanna Yu, serta bekas menteri kewangan kedua, Ahmad Husni Hanadzlah.

Post a Comment

0 Comments