KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) maju setapak lagi apabila cuba mengambil pendekatan baru mempromosikan produk buatan negara.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata KPDNHEP bakal mengadakan rundingan bersama Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) bagi menempatkan produk buatan tempatan di terminal lapangan terbang seluruh negara.
Usaha itu jelasnya juga sebagai satu inisiatif menyokong usahawan tempatan.
"MAHB mempunyai 39 lapangan terbang seluruh negara... jadi yang naik kapal terbang, menghantar dan menyambut (penumpang) dalam setahun kira-kira 100 juta orang yang menggunakan lapangan terbang.
"Jadi kementerian sedang berunding untuk menempatkan produk buatan Malaysia di terminal lapangan terbang di seluruh negara," katanya.
Saifuddin sebelumnya mengiringi Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang merasmikan Karnival Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) Peringkat Kebangsaan di Plaza Angsana di sini, pada Sabtu.
Menyentuh mengenai KBBM di Johor, Saifuddin berkata, ia bukan sekadar mempromosikan barangan tempatan, namun juga bertujuan untuk mengukuhkan perbelanjaan domestik dengan menggalakkan pengguna di negara ini khususnya Johor dan negara jiran seperti Singapura membeli barangan buatan Malaysia.
"Kita membantu pengeluar untuk memasar dan mempromosikan produk buatan Malaysia serta perkhidmatan mereka, sekaligus merancakkan kegiatan ekonomi domestik dan menggalakkan pembangunan industri tempatan," katanya.