PILIHAN Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai yang akan berlangsung akan menyaksikan pertandingan enam penjuru.
Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Karmaine Sardini bakal dicabar calon Barisan Nasional (BN) Wee Jeck Seng yang merupakan ketua MCA Tanjung Piai.
Empat calon lain yang bakal mempertaruhkan nasib pada PRK tersebut ialah timbalan setiausaha agung parti GERAKAN Wendy Subramaniam dan Presiden Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA) Dr Badrulhisham Abdul Aziz.
Dua calon bebas turut menghantar pencalonan hari ini, mereka ialah Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Ab Ghaffar.
Proses penamaan calon tamat pada jam 11 pagi tadi selepas tempoh penamaan calon di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim ditutup pada 10 pagi, disusuli tempoh bantahan selama sejam.
PRK Parlimen Tanjung Piai diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, daripada BERSATU pada 21 September lalu akibat komplikasi jantung.
Pada PRU-14 Mei tahun lalu, Allahyarham Md Farid memenangi kerusi itu apabila memperoleh 21,255 undi, menewaskan Wee (20,731 undi) dan calon PAS Nordin Othman (2,962 undi).
PRK Tanjung Piai ini adalah pilihan raya yang kesembilan diadakan sejak PH memenangi PRU-14 pada Mei tahun lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tempoh kempen selama 14 hari bermula hari ini. 12 November ditetapkan sebagai hari pengundian awal dan 16 November ini ialah tarikh pilihan Raya.
Parlimen Tanjung Piai mempunyai seramai 52, 986 orang pengundi berdaftar, dengan 56.88 peratus atau 30,141 adalah pengundi Melayu, Cina (41.52 peratus atau 22,000 pengundi), India (satu peratus atau 532 pengundi) dan Bumiputera Sabah (0.09 peratus atau 47 pengundi).
Sementara itu, seorang individu membatalkan rancangan untuk mendaftar sebagai calon. Individu tidak dinamakan itu membuat keputusan tersebut susulan ketiadaan pencadang.
Desas-desus bahawa Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PERKASA) Ibrahim Ali dan Pengasas Big Blue Taxi Facilities Sdn Bhd Shamsubahrin Ismail akan bertanding juga tidak terlaksana.
PAS yang pada awalnya dilapor mengarahkan calon simpanan dari parti itu bersiap sedia bagi mengadapi sebarang kemungkinan pada hari penamaan turut tidak meletakkan calon mereka.
Setiausaha Agung Pas, Takiyuddin Hassan baru- baru ini mengesahkan Presiden mereka, Abdul Hadi Awang, bersetuju Wee diletakkan sebagai calon mewakili BN.
0 Comments