DESAKAN penyokong pembangkang supaya Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pilah Mohamad Nazaruddin Sabtu meletakkan jawatan kerana didakwa tidak sihat untuk tidak mampu menjalankan tugas disifatkan tindakan melampau.
Ketua Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pilah Hasnan Abd Malek berkata tuduhan itu selain meraih sokongan politik buat parti pembangkang dilihat mempunyai niat bagi mengganggu kestabilan Kerajaan Negeri pimpinan Menteri Besar Datuk Aminuddin Harun.
Menolak tohmahan pembangkang itu, Hasnan menjelaskan bahawa pihak MPKK sememangnya mendapat kerjasama penuh daripada Mohamad Nazaruddin dalam setiap program dilaksana oleh mereka.
“Saya amat yakin tuntutan supaya Adun Pilah meletakkan jawatan baru-baru ini adalah berniat jahat dan atas kepentingan pihak tertentu... serangan dalam media sosial juga tidak menggambarkan keadaan sebenarnya,”
“Kesihatan beliau bertambah baik... kami amat yakin beliau mampu menggalas tanggungjawab dengan lebih berkesan," jelasnya dalam satu sidang media di Kuala Pilah.
Selasa lepas, kira-kira 50 orang Pemuda Umno Negeri Sembilan mengadakan demonstrasi di hadapan pintu masuk Wisma Negeri bagi mendesak Mohamad Nazaruddin meletakkan jawatan sebagai wakil rakyat kerana didakwa tidak mampu menjalankan tugasnya.
Susulan itu 23 MPKK DUN Pilah bersama wakil KEADILAN Cabang Pilah tampil menyatakan sokongan mereka kepada Mohamad Nazarudin.
0 Comments