Bimbang Bentong dilanda influenza A


BERLAKU
peningkatan kes jangkitan influenza A di daerah Bentong sejak awal bulan ini.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pahang, Datuk Dr Sha'ari Ngadiman yang dipetik laporan Sinar berkata, seramai 73 orang disahkan dijangkiti wabak itu dalam tiga siri jangkitan bermula awal bulan ini.

Jumlah itu katanya melibatkan pelajar di dua sekolah dan pesakit Unit Hemodialisis Hospital Bentong.

"Bagi kluster pertama, kes mula dikesan pada 5 November lalu melibatkan sembilan pesakit di Unit Hemodialisis Hospital Bentong dan semua kes beransur pulih. Pada masa ini hanya seorang dirujuk ke HTAA (Hospital Tengku Ampuan Afzan) Kuantan dan dua orang di Hospital Bentong manakala yang lain-lain mendapat rawatan sebagai pesakit luar.

"Kluster berikutnya melibatkan 11 orang murid prasekolah di Mempaga yang mula dikesan pada 12 November lalu dan sehingga kini tiada peningkatan kes dikesan di mana kesemua kes telah mula beransur pulih.

"Kluster ketiga pula melibatkan 53 pelajar di sebuah sekolah berasrama penuh bermula pada 12 November lalu dan kesemua kes telah beransur pulih," katanya dalam satu kenyataan.

Sebagai rekod, influenza adalah penyakit berjangkit yang menyebabkan jangkitan kepada salur pernafasan termasuklah hidung, tekak dan paru-paru.

Virus merebak antara individu kepada individu lain menerusi rembesan cecair bersin, batuk, sentuhan dan melalui udara. 

Sementara itu tambag Sha'ari, berdasarkan pemantauan keadaan masih terkawal, jabatan terbabit sudah mengambil langkah-langkah kawalan dan pencegahan di beberapa lokasi terlibat berikutan kejadian yang menimpa di Bentong.

"Semua fasiliti kesihatan dan hospital di daerah berada dalam siap siaga terutama di Bentong," jelasnya.

Sebelum ini tular di laman sosial wabak influenza A (H1N1) mula merebak di daerah ini sehingga menimbulkan keresahan penduduk.

Post a Comment

0 Comments