WISMA PUTRA menasihatkan rakyat Malaysia yang merancang hendak ke Hong Kong menangguhkan perjalanan ke negara itu.
Ia susulan protes di Hong Kong yang semakin meruncing.
Dalam satu kenyataan pada Jumaat, Kementerian Luar Negeri turut menasihatkan rakyat Malaysia di Hong Kong supaya mendaftar dengan Konsulat Jeneral Malaysia di bandar itu melalui emel.
"Beberapa daerah di Hong Kong mungkin dipengaruhi oleh protes yang sedang berlangsung.
"Gangguan kepada pergerakan dan pengangkutan awam juga boleh berlaku tanpa notis.
"Oleh itu, buat masa ini, pelancong Malaysia dinasihatkan untuk menangguhkan perjalanan yang tidak penting ke kawasan yang terjejas," kata kementerian luar.
Rakyat Malaysia yang telah berada di Hong Kong pula digesa mengambil langkah berjaga-jaga untuk memastikan keselamatan mereka di bandar tersebut.
Mereka turut boleh mendapatkan bantuan dengan menghubungi Konsulat Jeneral Malaysia di Hong Kong melalui telefon di +852 2821 0800 (semasa waktu pejabat) atau + 852-6900-6390 (selepas waktu pejabat) atau e-mel di mwhongkong@kln.gov .my.
"Terus berjaga-jaga dan terus memantau perkembangan terbaru melalui berita tempatan atau pengumuman yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan," kata kenyataan itu lagi.
0 Comments