SAKSI pendakwaan ke-16 dalam pertuduhan pecah amanah dan sembilan pertuduhan menerima rasuah oleh bekas Pengerusi Felda mendedahkan cara tertuduh meminta suapan.
Bekas ahli lembaga pengarah Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd (GAPSB), Ikhwan Zaidel, 59, memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa beliau memberi wang suapan berjumlah RM3.09 juta kepada Mohd Isa Abdul Samad selepas menerima “salam” daripada bekas Mohd Isa Abdul Samad.
Ikhwan berkata pada Oktober 2014, Zahid menghubunginya untuk menyampaikan “salam” Isa dan beliau menghubungi Azizi untuk memintanya mengeluarkan wang berjumlah RM300,000.
“Zahid ada sekali sekala menghubungi saya untuk menyampaikan ‘salam’ daripada Isa. Saya memahami apa makna ‘salam’ tersebut dan akur atas permintaan (dana politik)," katanya.
BACA: Saksi dakwa Isa Samad minta 'dana politik' melalui P.A
Zahid atau Muhammad Zahid Mohd Arip merupakan bekas pegawai khas kepada Isa. Ikhwan mendakwa memberikan wang diminta Isa sebanyak sembilan kali dengan memasukkan wang tersebut ke dalam beg kertas.
Menurutnya, penyerahan pertama wang RM100,000 diisi dalam beg kertas dan diserahkan kepada Zahid di Cigar Room, Hotel Hilton Petaling Jaya pada Julai 2014.
“Saya maklum kepada beliau (Zahid) wang RM100,000 akan ditolak daripada baki RM3 juta (dana politik) yang dijanjikan sebelum ini, yang mana ia menggunakan wang saya sendiri terlebih dahulu. Saya kemudian menyerahkan RM140,000 kepada Zahid antara 21 Julai 2014 hingga 28 Julai 2014 di lokasi sama.
Tambah Ikhwan, beliau selepas itu beberapa kali menyerahkan sejumlah wang dalam jumlah berbeza-beza di beberapa lokasi lain.
“Saya juga menyerahkan wang RM500,000 lagi kepada Zahid di rumah saya pada 4 hingga 7 Dis 2015. Saya beritahu Zahid bayaran ini merupakan bayaran terakhir daripada RM3 juta untuk Isa.
“Saya percaya semua wang yang saya berikan kepada Zahid adalah untuk Isa. Selepas wang tersebut diserahkan, saya tidak ada lagi terima permintaan daripada Zahid untuk mendapatkan wang bagi pihak Isa,” katanya.
Isa, 70, menghadapi satu pertuduhan pecah amanah dan sembilan pertuduhan menerima rasuah berjumlah lebih RM3 juta yang didakwa dilakukan di Menara Felda, Platinum Park, Persiaran KLCC antara 29 April 2014 dan 11 Dis 2015.
0 Comments