PENDIRIAN songsang seorang pemimpin KEADILAN yang mahu Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri sehingga tamat penggal Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dianggap mempunyai kepentingan peribadi.
Ketua Penerangan KEADILAN, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, pendirian itu yang berlawanan dengan konsensus Pakatan Harapan (HARAPAN) sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) lalu dibuat kerana individu itu cuba menyelamatan diri dan karier politiknya susulan kontroversi yang dikaitkan dengannya sebelum ini.
Tanpa secara jelas menamakan individu tersebut, kenyataan itu dipercayai merujuk kepada Presiden parti itu, Mohamed Azmin Ali.
Shamsul yang juga merupakan Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya sementara itu menegaskan kenyataan Azmin sangat bercanggah dengan agenda reformasi dan ia jelas tidak menetapi hasrat rakyat yang memilih HARAPAN pada PRU lalu.
“Ia sama sekali tidak mencerminkan pendapat parti. Sudah beberapa kali KEADILAN dengan tegas menyatakan bahawa akan menghormati perjanjian yang dipersetujui dan peralihan kepemimpinan akan dibuat secara penuh hormat, tertib dan muhibah serta berlunaskan prinsip dan amalan demokrasi.
“KEADILAN ingin menasihati semua pihak supaya menumpukan kepada isu kepentingan negara dan menitikberatkan kepada usaha menyelesaikan permasalahan rakyat, terutama dalam langkah segera untuk membaik pulih ekonomi negara," tegasnya.
Shamsul sementara itu turut meminta pemimpin parti komponen sentiasa menjaga keutuhan HARAPAN dengan tidak membuat kenyataan melulu.
Terdahulu, kenyataan dibuat Azmin yang mengambarkan beliau tidak mahu Anwar diangkat sebagai Perdana Menteri seperti dijanjikan pada penggal ini dikritik ramai.
Parti Amanah Negara (AMANAH) antara paling awal membuat kenyataan menolak gesaan bekas Menteri Besar Selangor itu dengan berkata bahawa persoalan peralihan dan kedudukan Perdana Menteri hendaklah diputuska Majlis Presiden HARAPAN dan bukan oleh mana-mana individu atau badan yang lain.
Timbalan Presiden parti itu, Datuk Seri Salahuddin Ayub dalam satu laporan media berkata, parti itu tidak akan sesekali mungkir pada konsensus HARAPAN sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) lalu iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri selepas Dr Mahathir.
0 Comments