Rugi jadi 'hero' hanya untuk satu kaum


PRESIDEN KEADILAN
, Anwar Ibrahim mengajak pemimpin di negara ini memenangi hati semua kaum dan tidak sekadar menjaga kaum tertentu sahaja.

Menurutnya, ia adalah mudah untuk dilihat sebagai "hero' dan meraih sokongan pengundi dengan memperjuangkan nasib hanya sesuatu kaum tertentu

Namun pemimpin yang bertanggungjawab tegasnya wajar mengambil tanggungjawab menjaga kepentingan semua kaum di negara ini.

“Saya mampu sahaja jadi hero orang Melayu, mudah sahaja. Saya tahu apa yang hendak dibuat. Sama seperti Xavier Jayakumar (anggota Kabinet dan pemimpin KEADILAN), dia boleh jadi hero buat orang India.

“Tetapi kalau jadi hero hingga menimbulkan perpecahan dan permusuhan, itu sebenarnya pengkhianat,” kata beliau dalam Seminar Nasional Hidup Bersama Dalam Kepelbagaian Pembinaan Bangsa dan Budaya Damai, malam tadi.

Anwar tidak merujuk kepada mana-mana kes secara khusus, namun dipercayai merujuk kerjasama Umno dan Pas yang dakwa mereka bagi menjaga kepentingan orang Melayu Islam di negara ini.

Sementara itu, Anwar tidak menafikan usaha mempertahankan serta merasa bangga dengan kaum dan agama masing-masing merupakan tindakan murni, namun ia tidak berguna lagi sekiranya berlaku ketegangan di negara majmuk ini.

“Kita boleh melakar sesuatu bagi faedah kaum dan agama tetapi jangan sampai memusnahkan. Di Malaysia, ada perkara yang sudah disepakati dan sering diulang oleh pimpinan Pakatan Harapan.

“Soal bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsan, agama Islam merupakan agama rasmi persekutuan, kedudukan Raja-Raja Melayu akan tetap dipertahankan dan hak istimewa Melayu dan Bumiputera,” kata ahli Parlimen Port Dickson itu dipetik.

Post a Comment

0 Comments