KES tuntutan saman dikemukakan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar terhadap Ketua Pembangkang, Ismail Sabri Yaakob dan bekas Ketua Polis Negara, Khalid Abu Bakar selesai.
Nurul Izzah bakal menerima ganti rugi RM850,000 dari kedua-dua individu itu. Ia susulan perkembangan terbahru rayuan terhadap saman dikemuka dua individu tersebut di Mahkamah Rayuan dekat Putrajaya pada Khamis.
Pada prosiding tersebut, Peguam Ranjit Singh memaklumkan kepada panel tiga hakim Mahkamah Rayuan bahawa anak guamnya, Nurul Izzah dan Ismail Sabri telah mencapai penyelesaian.
Pihak-pihak dalam saman itu jelasnya telah bersetuju dengan rayuan pemimpin Umno itu untuk beliau membayar jumlah kuantum ganti rugi yang lebih rendah kepada Nurul Izzah daripada RM600,000 kepada RM450,000.
Ismail yang merupakan bekas Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah ketika era Barisan Nasional dalam rayuan tersebut juga bersetuju untuk memohon maaf kepada Nurul Izzah.
Mahkamah Tinggi pada April tahun lalu memutuskan kenyataan tersebut sebagai fitnah kepada Nurul Izzah dan memerintahkan mereka mereka membayar ganti rugi.
Sementara itu, dalam prosiding sama, bekas Ketua Polis pula diperintah membayar ganti rugi RM400,000 seperti diputuskan Mahkamah Tinggi sebelum ini.
Mahkamah turut mengarahkan kos sebanyak RM15,000 terhadap Khalid susulan keputusan Mahkamah menolak rayuan Khalid terhadap kuantum dituntut Nurul Izzah.
Pada November 2015, Khalid didakwa membuat kenyataan fitnah terhadap Nurul Izzah dalam satu sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis, Bukit Aman.
Ia susulan satu gambar pertemuan Nurul Izzah bersama Jacel Kiram - adalah anak perempuan kepada Jamalul Kiram III, individu yang mengaku sebagai Sultan Sulu dan dituduh dalam serangan di Lahad Datu.
Nurul Izzah menegaskan tidak mengetahui bahawa individu itu yang mengajaknya bergambar adalah anak kepada Jamalul Kiram.
0 Comments