MEF dakwa pindaan IRA nafi hak pekerja


PERSEKUTUAN Majikan-majikan Malaysia (MEF) menyeru Dewan Negara menolak pindaan Akta Perhubungan Perusahaan (IRA) yang dicadangkan Menteri Sumber Manusia M Kula Segaran.

MEF mendakwa Kula gagal berunding secara rasmi dengan pemegang taruh mengenai perkara itu.

Katanya, cadangan pindaan yang diserah kepada Dewan Rakyat minggu lepas oleh Kula mengelak prosedur membentangkan perbincangan dengan MEF dan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) di Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan (NLAC).

“Kami terkejut menteri membentangkan cadangan pindaan itu atas kemahuan sendiri yang terang-terangan melanggar prinsip tripartisme dalam Konvensyen 144 Pertubuhan Buruh Antarabangsa,” kata Pengarah Eksekutif MEF Shamsuddin Bardan.

Prinsip tripartisme yang disebut Shamsudin itu merujuk kepada rundingan tiga pihak antara kumpulan majikan, kumpulan pekerja dan kerajaan.

Terdahulu, Setiausaha Agung MTUC, J Solomon berkata Kula memungkiri janji bahawa segala cadangan pembaharuan undang-undang perburuhan akan dikaji dan diperakui oleh jawatankuasa teknikal yang merangkumi pegawai kementerian, MTUC dan Persekutuan Majikan Malaysia (MEF).

Katanya, dengan meminggirkan peranan MTUC dalam jawatankuasa teknikal dan NLAC, Kula Segaran menafikan hak pekerja untuk membawa pindaan undang-undang yang mampu membela mereka.

Sementara itu, MEC menegaskan cadangan Kula itu bakal memberi implikasi serius pada kehamornian perusahaan dan kesan buruk terhadap kestabilan ekonomi.

“Menteri bukan sahaja mengabaikan rakan kongsi sebelum membentangkan cadangan pindaan itu, Analisis Kesan Peraturan (RIA) juga tidak dijalankan,” katanya.

MEF mahu cadangan pindaan itu dikembalikan kepada NLAC untuk dibincangkan cukup-cukup.
 

Post a Comment

0 Comments