HARAPAN (Pakatan Harapan) dijangka memuktamadkan calon untuk kerusi pilihan raya kecil (PRK) Tanjung Piai pada minggu hadapan.
Pengerusi HARAPAN negeri Johor , Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pihaknya kini dalam proses akhir meneliti calon berkenaan dan ia bakal diumumkan sendiri olehnya tidak lama lagi.
“Insya-Allah, kita akan dapatkan tokoh dan calon terbaik dan sesuai untuk Tanjung Piai
“(Calon) akan dimuktamadkan mungkin dalam masa seminggu yang akan datang, sebelum hari penamaan calon. Kita akan (buat) program untuk memperkenalkan calon HARAPAN di situ, dan saya akan umumkan nanti,” katanya.
Pada 4 Oktober lalu, HARAPAN melalui satu kenyataan memberitahu bahawa mereka sudah mempunyai nama calon bagi PRK tersebut, namun ia belum diputuskan.
Berbanding Barisan Nasional (BN), HARAPAN dilihat senada untuk meletakkan calon dari Bersatu, sedangkan berlaku pertikaiaan diantara BN apabila Pas mahu Umno meletak calon mereka di kerusi tradisi MCA itu.
Selain MCA, Gerakan - Parti yang sebelum ini menganggotai BN turut menyuarakan hasrat untuk merebut kerusi berkenaan.
Sebagai rekod, kerusi Parlimen Tanjung Piai kosong berikutan kematian penyandangnya, Allahyarham Dr Md Farid Md Rafik dari Bersatu pada 21 September lalu.
SPR menetapkan PRK Tanjung Piai pada 16 November depan, manakala hari penamaan calon ditetapkan pada 2 November dan tarikh mengundi awal pada 12 November.
0 Comments