Filem The Cave akan ditayangkan di Busan


FILEM The Cave, sebuah terbitan yang diadaptasi dari kisah benar operasi menyelamat 12 pemain bola sepak kelab yang terperangkap dalam gua Tham Luang di Thailand pada tahun lalu bakal ditayangkan.

Diarahkan pembikin filem berketurunan Thailand-Ireland, Tom Waller ia pertama kali akan ditayangkan pada Festival Filem Antarabangsa Busan di Korea Selatan pada Sabtu ini.

Waller sebelum ini menjanjikan, paparan filem ini tidak akan kelihatan seperti di set.

“Antara cabaran utama yang perlu kami tempuhi semasa melakukan pengambaran adalah mencipta semula keadaan persekitaran gelap yang menunjukkan usaha menyelamatkan Wild Boar amat mengerikan.

“Bagi mendapatkan sisi yang sama, kami perlu merakamkan gua sama sekitar Thailand dan mengupah empat penyelam yang terlibat dalam operasi menyelamat itu untuk membintangi filem itu sendiri.

“Selain itu, kami juga terpaksa berhadapan dengan binatang liar seperti ular dan labah-labah besar,” katanya dipetik AFP sebelum ini.

Waller turut memberi amaran bahawa individu yang  mengalami klaustrofobia akan berasa sedikit bimbang apabila menonton filem ini.

Tahun lalu, 12 pemain Wild Boars bersama jurulatih mereka terperangkap di dalam gua selama 18 hari akibat hujan lebat berterusan sehingga laluan gua dinaiki air.

Misi menyelamat mereka mendapat liputan antarabangsa.

Filem ini dijadualkan untuk ditayangkan di Thailand pada November.