Fatehah mahu buru gelaran di kejohanan dunia UCI


RATU Trek negara, Fatehah Mustapa teruja untuk kembali berkayuh dalam saingan musim baharu kejuaraan Piala Dunia UCI yang akan bermula di Misnk, Belarus hujung minggu ini.

Ia selepas setahun beliau tidak tersenarai ke kejohanan itu.

Fatehah yang bercakap kepada media, pemenang dua pingat gangsa Kejohanan Berbasikal Trek Asia di Korea Selatan minggu lalu mahu fokus kepada kejohanan dunia tersebut.

"Kali terakhir saya sertai Piala Dunia di Kanada tahun lalu. Sekarang ini fokus saya memang untuk Piala Dunia dahulu. Tak semua siri akan saya sertai dan ikutkan perancangan awal jurulatih, John Beasley saya akan sertai tiga Piala Dunia dengan pertama di Minsk, kemudian Glasgow (8-10 November) dan Hong Kong (29 November-1 Disember) ini.

"Sasaran saya sudah tentu mahu mengumpulkan mata sebanyak mungkin bagi melayakkan diri ke Kejohanan Dunia UCI," katanya.

Sebanyak enam siri Piala Dunia bakal berlangsung musim 2019-2020 - Minsk, Glasgow, Hong Kong, Cambridge (6-8 Disember), Brisbane (13-15 Disember) dan Milton (24-26 Januari 2020).

Sejak digugurkan sejak Sukan Asia 2018 dan tidak lagi berlatih di Melbourne, Fatehah berdepan dengan persembahan yang suram sebelum kembali bangkit pada Kejohanan Trek Grand Prix Asia Tenggara di Nilai pada Ogos lalu sehinggalah memenangi dua gangsa pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia di Korea Selatan, minggu lalu.

"Tak ada rahsia cuma saya bekerja keras untuk menaikkan balik karier saya dengan bantuan jurulatih di Malaysia yang banyak memberi bantuan serta sokongan untuk saya kembali bangkit.

"Saya harap dapat menaikkan prestasi secara perlahan-lahan dan mengekalkan momentum pada aksi di Piala Dunia nanti," katanya menurut laporan BH.

Post a Comment

0 Comments