Anwar dedah perbualan dengan Tun M


ADA
perjanjian bertulis yang menyatakan bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengambil alih jawatan Perdana Menteri daripada Tun Dr Mahathir Mohamad.

Presiden KEADILAN itu berkata, perjanjian itu bagaimanapun tidak hanya melibatkan pemimpin Pakatan Harapan (HARAPAN), sebaliknya dinyatakan secara umum dengan jelas sepanjang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

"Pertamanya, terdapat satu perjanjian iaitu perjanjian bertulis dan ia (perjanjian) bukan hanya di kalangan pemimpin (Pakatan Harapan), namun mesejnya jelas sepanjang pilihan raya lalu, iaitu Tun Dr. Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri dan Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail menjadi Timbalan Perdana Menteri.

Anwar ketika Persidangan Kepimpinan Apex
"Apabila Anwar dibebaskan (dari penjara) beliau akan mengambil alih jawatan," katanya.

Ahli Parlimen Port Dickson itu sebelumnya ditanya isu peralihan kuasa semasa sesi soal jawab Persidangan Kepimpinan Apex di Bangsar pada Rabu.

Tambah Anwar lagi, disebalik isu tersebut, beliau tidak melihat ia (peralihan kuasa) akan menjejaskan apa-apa dalam parti gabungan dalam HARAPAN.

"Sekarang, adakah ada perubahan dalam kedudukan-kedudukan dalam KEADILAN? Tidak. Adakah DAP ada perubahan dalam kedudukan? Tidak. Amanah dan kedudukan Mat Sabu berubah? Tidak.

"Maka, jelas, tiada isu dibangkitkan. Bersatu? juga tidak. Tun Dr Mahathir telah menyatakannya secara tertutup dan terbuka," ujarnya lagi.

Sebagai rekod, Dr. Mahathir berulang kali menyatakan secara terbuka akan mengotakan janji untuk meletakkan jawatan selepas tempoh dua tahun.



Perbualan dengan Tun M

Mengulas mengenai isu dimana Dr Mahathir seperti tidak jelas apabila ditanya tempoh masa beliau akan menerajui negara, Anwar berkata perkara itu berlaku hanya kerana memberi perdana menteri itu jawapan yang berbeza.

Perkara itu katanya telah menjadi perbualan sehinggakan ada pihak yang mendesak dan bertanya bila Dr Mahathir akan melepaskan jawatan. Ia diburukkan lagi dengan sikap pihak tertentu yang cuba meretakkan hubungan dalam HARAPAN.

"Ya kadang-kala sudah tentu Tun Dr Mahathir ada nyatakan setahun, dua tahun dan tiga tahun. Mahathir dikatakan seperti mengelak. Saya katakan tidak (menafikan Dr Mahathir mengelak)," ujar Anwar. 


Sementara itu tambah Anwar lagi,  Dr Mahathir ada memberitahu kepadanya bahawa soalan tentang peralihan kuasa yang diajukan media ada kalanya membuatkan pemimpin berusia 94 tahun itu seolah-olah seorang perdana menteri yang tidak berfungsi.

"Katanya, 'Anwar, saya telah janji dan saya akan kotakannya. Tapi jangan macam ini - paksa saya, buat saya umumkan tarikh sebenar kerana saya akan jadi (seperti) perdana menteri yang tidak berfungsi (lame duck)," katanya lagi.

Susulan itu Anwar menggesa semua pihak tidak bertanyakan kepada Dr Mahathir berhubung isu peralihan kuasa.

" Berikan beliau masa dan teruskan (tugasnya). Itu apa yang beliau katakan kepada saya dan saya menghargai tindakannya.," ujar  Anwar.




Post a Comment

0 Comments