Amanah pegang konsensus, tak layan saranan Azmin


SARANAN bekas Menteri Besar Selangor agar Tun Dr Mahathir Mohamad kekal sebagai Perdana Menteri sehingga tamat penggal tidak mendapat sambutan dikalangan parti dalam Pakatan Harapan (HARAPAN)

Ia susulan satu kenyataan tegas dibuat Parti Amanah Negara (AMANAH) berhubung isu pengiliran jawatan perdana menteri yang cuba dihangatkan kembali Azmin.

Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Salahuddin Ayub dalam satu laporan media semalam berkata, parti itu tidak akan sesekali mungkir pada konsensus HARAPAN sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) lalu iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri selepas Dr Mahathir dalam penggal ini.


“AMANAH sebahagian daripada HARAPAN dan perjanjian pada waktu itu ialah Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri ketujuh, dan jelas menyatakan Datuk Seri Anwar sebagai Perdana Menteri kelapan.

“Itu perjanjian yang masih utuh dan kita masih berpegang sehingga hari ini.

“Daripada segi tempoh masa (peralihan kuasa) pula terpulang kepada kebijaksanaan Majlis Presiden HARAPAN untuk berbincang dan memutuskan secara konsensus atas semangat HARAPAN,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai pendirian AMANAH mengenai pendirian Azmin Ali.

Azmin yang dikaitkan dengan usaha mewujudkan kerajaan baharu tanpa AMANAH dan DAP  bersama beberapa individu lain dilihat seolah-olah mahu mengekang Anwar dari dilantik sebagai Perdana Menteri.

Malah pendirian dibuat Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu selari dengan pendirian presiden PAS, Abdul Hadi Awang yang mahu Dr Mahathir kekal perdana menteri walaupun beliau sebelum PRU lalu memperlekeh keputusan HARAPAN menamakan Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri HARAPAN.

Post a Comment

0 Comments