SEORANG lelaki warga Malaysia maut dalam pergaduhan di Thailand semalam.
Agensi Berita Nasional- Bernama, dalam laporannya berkata, lelaki tersebut yang berusia 46 tahun dan berasal dari Pulau Pinang itu ditikam oleh seorang pengawal keselamatan dalam pergaduhan di Sadao, Songkhla.
Penyiasat Polis Sadao, Kapten Pairote Wongtawin berkata seorang lelaki warga Thailand telah ditahan dalam kejadian itu.
Hasil soal siasat suspek mendakwa mangsa mengekori seorang wanita tempatan ke apartmen tersebut dan cuba memasuki apartmen tanpa kad akses.
"Suspek yang bertugas ketika itu memberitahu mangsa untuk berhenti. Bagaimanapun, pergaduhan kemudian berlaku, menyebabkan mangsa ditikam.
"Suspek mendakwa dia ditumbuk dahulu oleh mangsa yang memaksanya menikam lelaki itu di perut," katanya.

Tambah laporan itu, mangsa telah disahkan meninggal dunia di Hospital Sadao. Manakala suspek difahamkan menunggu di tempat kejadian sebelum menyerah diri kepada polis.
Susulan itu, suspek kini didakwa atas tuduhan membunuh yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup, jika didapati bersalah.
"Ahli keluarga mangsa telah dimaklumkan tentang kejadian itu. Saudara lelaki mangsa tiba hari ini untuk urusan membawa balik mayatnya yang dijangka diterbangkan ke Pulau Pinang esok," kata laporan itu lagi.
0 Comments