PENGAMBILALIHAN Terengganu Investment Authority Berhad (TIA) kepada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) adalah untuk menyembunyikan penyelewengan Najib Razak, dakwa seorang saksi.
Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB dan TIA Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi mendedahkan perkara itu semasa membacakan penyataan saksinya setebal 270 muka surat pada hari ke-13 perbicaraan kes Najib melibatkan dana 1MDB di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam.
Menurutnya, penyelewengan itu berkaitan bon pinjaman Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) berjumlah RM5 bilion yang dimohon TIA.
"Berdasarkan apa yang saya tahu sekarang, saya yakin bahawa dasar pengambilalihan TIA kepada 1MDB secara as is where is basis ini adalah dirancangkan oleh Jho Low (Low Taek Jho) dengan restu daripada Datuk Seri Najib.
"Ia untuk menyembunyikan penyelewengan beliau semasa penerbitan bon IMTN RM5 bilion dengan Jaminan Kerajaan yang dibuat pada Mei 2009," jelasnya.
Shahrol Azral, 49, juga berkata Jho Low mengarahkannya menulis surat 1MDB bertarikh 11 Dis 2009 kepada bekas perdana menteri itu atas alasan ia adalah permintaan Najib. Surat itu bagi memastikan 1MDB tidak perlu diaudit.
Menurutnya lagi, walaupun tidak teribat dalam perbincangan itu sejak awal, namun percaya kandungan surat berkenaan telah dibincangkan terlebih dahulu oleh Jho Low dan Najib.
"Di dalam surat itu menyatakan Datuk Seri Najib mengambil maklum bahawa Lembaga Penasihat 1MDB bersetuju supaya pemersekutuan TIA seperti yang telah diluluskan oleh Jemaah Menteri kepada 1MDB dilakukan atas dasar 'as is where is' dan tiada keperluan bagi audit dan due diligence dilaksanakan oleh Ketua Audit Negara kerana pemindahmilikan saham telah pun sempurna.
"Datuk Seri Najib juga bersetuju dengan keputusan Lembaga Pengarah 1MDB iaitu 1MDB sebagai sebuah syarikat diperbadankan mengikut Akta Syarikat 1965 mesti diaudit oleh juruaudit profesional luar lantikan Lembaga Pengarah dan keperluan bagi Ketua Audit Negara mengaudit 1MDB tidak timbul sama sekali," katanya dipetik laporan Awani.
Shahrol Azral merujuk kepada satu surat bertarikh Disember 2009 yang turut dilampirkan kepada Tan Sri Ambrin Buang (Ketua Audit Negara), Tan Sri Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah (Ketua Setiausaha Perbendaharaan) dan Tan Sri Che Lodin Wok Kamaruddin (Pengerusi Lembaga Pengarah).
Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.
0 Comments