BEKAS vokalis Exists, membuat janji untuk tidak mengulangi kesilapannya dan mahu dorongan rakyat Malaysia untuk dirinya berubah.
Bercakap dalam satu sidang media di Bangsar, Mamat atau nama sebenarnya Mohd Ali Kamaruddin, 41 turut memohon maaf kepada semua pihak yang terkesan dengan insiden penangkapannya berhubung kes dadah, baru-baru ini.
"Saya memohon maaf kepada peminat dan pihak media yang sudah menguar-uarkan konsert ini.
Mamat terbabit konsert Exist Reunion |
"Apa yang berlaku sebelum ini adalah di luar jangkaan saya. Jujurnya, saya sendiri terkejut dan rasa bersalah kerana mengecewakan semua pihak dengan insiden penangkapan itu.
"Sekarang, saya hanya mahu memandang ke hadapan dan menumpukan perhatian pada persiapan konsert ini,” katanya.
Sebagai rekod, penyanyi yang popular dengan lagu 'Untukmu Ibu" pada awal 90-an itu sedang terlibat dengan konsert Exists Reunion.
Mamat ditahan polis pada Ahad lalu di Taman Perling, Johor Bahru, bersama seorang rakannya, kerana memiliki sejumlah dadah jenis syabu.
Ujian saringan awal air kencing turut mendapati kedua-dua lelaki itu positif dadah. Dia kini dibebaskan dengan jaminan polis.
Sementara itu, Mamat turut meluahkan hasrat berubah. dia berhajat untuk memasuki pusat pemulihan bagi mendapatkan rawatan ketagihannya itu.
"Saya mula menyimpan hasrat untuk berubah sejak setahun lalu, cuma waktu itu tiada dorongan kuat diterima. Kini saya mendapat sepenuh galakan daripada anggota Exists dan pihak penganjur.
"Insya-Allah, saya akan mendapatkan rawatan sebaik sahaja konsert kami selesai nanti," ujarnya
0 Comments