BEKAS Perdana Menteri, Najib Razak dilapor sering menjemput ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low ke majlis tertutup yang diadakannya.
Perkara itu didedahkan saksi pendakwaan kelapan, Amhari Efendi Nazaruddin di mahkamah ketika prosiding perbicaraan membabitkan skandal kewangan 1Malaysia Development Berhada (1MDB)
Menurut saksi, Jho Low sering hadir ke majlis yang selalunya jemputan adalah lebih kurang seratus orang di mana mereka terdiri daripada pegawai kerajaan, ahli perniagaan dan individu keutamaan (vvip).
Malah pegawai khas Najib Razak itu turut mendakwa isteri kepada bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan Jho Low sebagai sangat rapat.
Ketika ditanyakan bagaimana beliau mengetahui hubungan rapat itu, Amhari berkata, beliau pernah mendengar perbualan telefon antara Rosmah dengan Jho Low ketika hadir dalam beberapa majlis rasmi di kediaman Najib.
“Rosmah juga pernah bercakap mengenai Jho Low kepada saya dan begitu juga dengan Jho Low.
“Saya mendengar perbualan mereka menerusi telefon tetapi tidak pernah ambil tahu apa yang dibualkan. Saya tidak ingin campur urusan peribadi orang lain,” katanya.
Pada minggu lalu, Amhari mendedahkan pertemuan bagi membincangkan isu berkaitan 1MDB sering dijalankan secara sulit di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur pada waktu malam.
Beliau juga dilapor berkata, Jho Low pada awalnya akan ke rumah Najib dahulu di Jalan Langgak Duta untuk berbincang dan mendapat pengesahan dokumen-dokumen yang akan dibincangkan dengan dia dan seorang lagi pegawai Najib.
Jho Low juga dianggap antara pencatur karier politik Najib Razak dengan penglibatan tidak hanya terbatas kepada 1MDB.
Terdahulu pada 20 September 2018, Najib mengaku tidak bersalah atas 21 pertuduhan membabitkan diri dalam pengubahan wang haram iaitu menerima, memindahkan dan membayar jumlah sama hasil daripada aktiviti haram.
0 Comments