Jangan marah jika anak tak sekolah hari ini


JABATAN  Pendidikan Selangor (JPS) hari ini menutup 29 sekolah di Selangor setelah bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) dikesan berada pada tahap tidak sihat.

Dalam satu kenyataan malam tadi, JPS berkata, penutupan itu bagi memastikan keselamatan guru, murid dan pelajar akibat masalah jerebu yang berlaku sekarang

“Sebanyak 24 sekolah di bawah Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Klang ditutup, manakala lima lagi di bawah PPD Kuala Langat.

“Jika pihak sekolah mendapati bacaan IPU di kawasan mereka melebihi 200, maka perlu mengambil tindakan selaras dengan Surat Siaran Kementerian Pendidikan Malaysia iaitu menutup sekolah serta-merta sehingga keadaan kembali pulih,” kata kenyataan itu.

Dianggarkan seramai 45,265 murid terlibat dengan penutupan itu.

Berdasarkan bacaan dipaparkan laman web http://apims.doe.gov.my, Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), setakat jam 8 malam ini, paras IPU di Johan Setia adalah 189; Kuala Selangor (132); Shah Alam (125); Petaling Jaya (119); Klang (116) dan Banting (111).

Bacaan IPU 0-50 menunjukkan kualiti udara sihat; 51-100 (sederhana), 101-200 (tidak sihat), 201-300 (sangat tidak sihat) dan melebihi 300, berbahaya.

Orang awam boleh merujuk laman sesawang Jabatan Alam Sekitar (JAS) di alamat http://apims.doe.gov.my/v2/ atau dengan memuat turun aplikasi telefon pintar, MyIPU di ‘Google Play’ bagi mendapatkan bacaan IPU terkini, setiap jam.
 

Post a Comment

0 Comments