Harapan Harimau Malaya lebur di gelanggang sendiri


IMPIAN
Harimau Malaya untuk menang di gelanggang sendiri pada perlawanan Kumpulan G Pusingan Kelayakan Kedua Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi musnah.

Walaupun bermain bertungkus lumus namun Emiriah Arab Bersatu (UAE) muncul pasukan lebih baik apabila menewaskan skuad kebangsaaan dengan keputusan 2-1.

Pemain hadapan UAE Ali Ahmed Mabkhout muncul wira berikutan tendangan kemenangan bergandanya pada minit ke-43 dan ke 75.

Keputusan itu sekali gus menyaksikan anak buah Tan Cheng Hoe kekal dengan tiga mata dan menduduki tangga ketiga Kumpulan G selepas mengharungi dua perlawanan dalam kempen kelayakan.

Pada aksi malam tadi, skuad Harimau Malaya  bermula positif selepas Muhammad Syafiq menghadiahkan Malaysia dengan gol pembukaan selepas 36 minit. Beliau menanduk masuk bola hantaran Matthew Davies ke gawang lawan.

header ads
Bagaimanapun, dua minit sebelum tamat babak pertama berakhir, pemain pasukan pelawat, Ali menyudahkan hantaran Mohamed Saleh Almenhali bagi menyamakan kedudukan dengan Malaysia.

Ali terus membuktikan ketajamannya apabila meledak gol kedua UAE pada minit ke-75 selepas dia terlepas dari kawalan pertahanan Harimau Malaya, Shahrul Saad dan Adam Nor Azlin.

Empat minit kemudian, Harimau Malaya hampir menyamakan kedudukan, namun rembatan Safawi Rasid sekadar menggegar tiang gol UAE dan kedudukan 2-1 kekal hingga wisel penamat.

Ssusulan keputusan malam tadi, Malaysia dan UAE terikat dengan tiga mata, ketinggalan satu mata di belakang Thailand  dengan empat mata.

Selepas ini, skuad negara akan menentang Vietnam di gelanggang lawan pada 10 Oktober sebelum melayan kunjungan negara jiran, Thailand di Stadium Nasional, Bukit Jalil, 14 November.

Post a Comment

0 Comments