SEMUA produk minuman teh boba jenama Tealive disahkan halal, tegas Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Jakim agensi yang diberi tanggungjawab menguruskan hal-hal berkaitan Islam di negara ini dalam satu kenyataan menafikan dakwaan segelintir pihak yang mendakwa minuman teh boba jenama itu mengandungi unsur khinzir
“Tealive yang diusahakan oleh syarikat Loob Integrated Sdn Bhd adalah pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) yang masih sah.
“Justeru, masyarakat dinasihatkan agar lebih berwaspada sebelum menyebarkan sesuatu maklumat berkaitan isu halal yang tidak diketahui status kebenarannya dengan merujuk pihak berautoriti supaya tidak terjebak ke kancah fitnah,
"Salah faham sesama ummah dan menjejaskan keharmonian negara," kata kenyataan itu.
Menurut Jakim, tular di media sosial baru-baru ini maklumat tidak benar yang direka-reka pihak tidak bertanggungjawab.
Susulan itu, Jamin menasihatkan masyarakat supaya menjadi pengguna yang bijak yang rasional, bermaklumat dan berakhlak mulia.
Sifat itu penting supaya masyarakat terutama pengguna laman sosial tidak mudah dipengaruhi dengan sebaran palsu.
Sementara itu, Jakim berkata, orang ramai yang ingin mengetahui produk dan premis sesuatu makanan itu memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia boleh melayari Portal Halal Malaysia di www.halal.gov.my.
Semakan juga boleh dilakukan melalui aplikasi telefon pintar Verify Halal.
0 Comments