BEKAS pelumba Moto3, Adam Norrodin diberi peluang mempamerkan aksinya pada Grand Prix (GP) San Marino, 15 September ini.
Pelumba yang diberi julukan 'Torete' itu diberi tanggungjawab untuk menggantikan sementara tempat Khairul Idham Pawi dalam saingan Moto2 bersama pasukan PETRONAS Sprinta Racing.
"Saya sangat gembira diberi peluang ini, seperti mimpi menjadi kenyataan," kata Adam.
Adam Norrodin |
Pada penampilan semula Adam di Litar Antarabangsa Misano minggu depan, beliau bakal menunggang jentera baru yang belum pernah dikendalikannya.
"Ada sesuatu yang baharu untuk saya pelajari tetapi ia akan menjadi perkara yang menarik buat diri saya, satu kisah baharu dalam kehidupan saya.
"Motosikal akan sedikit berbeza daripada yang biasa saya gunakan tetapi saya teruja untuk mencubanya. Fokus utama saya untuk minggu itu nanti adalah untuk cuba dan mengenali motosikal bagi mempersiapkan diri bagi masa akan datang," katanya seperti dilapor media.
Sebagai rekod, pelumba asal pasukan tersebut, Khairul Idham Pawi masih lagi dalam proses pemulihan selepas mengalami kecederaan tangan yang serius.
Sementara itu, pengurus pasukan, Dato Razlan Razali menyifatkan pemilihan Norrodin tepat dengan objektif pasukan dalam membentuk pelumba tempatan berkeupayaan tinggi.
“Peluang ini amat penting bagi membantu Adam dalam meningkatkan lagi perkembangannya,” ujar Razlan
0 Comments