Raja Permaisuri lawat UIAM, cemar duli naik bas




RAJA Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah mencemar duli melawat kampus Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) Gombak sempena Kunjungan DiRaja semalam.

Dalam kunjungan itu, Tunku Azizah turut mengambil kesempatan menaiki bas melawat Kulliyyah Senibina dan Reka Bentuk Alam Sekitar serta galeri universiti.

Berkenan cemar duli naik bas | Sumber -Google
Baginda turut berkunjung ke pameran berkaitan kajian seni bina Islam di Kedah dan Pulau Pinang yang dianjurkan penuntut tahun akhir fakulti itu serta melawat pusat asuhan dan jagaan kanak-kanak untuk kakitangan universiti terbabit.

Kunjungan semalam merupakan kunjungan sulung baginda ke UIAM selepas dilantik menjadi Ketua Perlembagaan (Canselor), Jun lalu.

Keberangkatan tiba baginda pada 11.15 pagi diiringi dua puteri, Tengku Puteri Raja, Tengku Puteri Afzan Aminah Hafizatullah dan Tengku Puteri Raja, Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah.

Dalam ucapan ringkasnya, Tunku Azizah merakamkan penghargaan kepada pihak universiti kerana menerima kunjungan baginda.

Melawat pusat asuhan dan jagaan kanak-kanak
Tunku Azizah bertitah, UIAM merupakan universiti Islam yang berprestij dan baginda turut meminati bidang pengajian Islam.

“Harap kehadiran saya di universiti ini sebagai ‘big head’, banyak benda yang saya boleh pelajari daripada anda semua, untuk menjadi insan mahupun permaisuri yang terbaik untuk Malaysia.

"Selain itu, saya juga harap boleh ‘kacau’ fakulti seni bina kerana memang meminati bidang seni bina selain sejarah dan perundangan Islam.,” titah baginda.

Untuk rekod, Tunku Azizah adalah wanita pertama dilantik Ketua Perlembagaan UIAM untuk tempoh lima tahun berkuat kuasa 12 April lalu.

Baginda menggantikan Sultan Pahang kelima, Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah yang mangkat 22 Mei lalu.

Tunku Azizah mengakhiri kunjungan semalam dengan berkenan menghadiri majlis santapan tengah hari bersama pengurusan tertinggi universiti, kakitangan serta penuntut.

Post a Comment

0 Comments