Himpunan Brickfields batal kerana ' panggilan Anwar'


Himpunan 'Say No Zakir Naik, Equal Rights to Indians and Other Races' yang dijadual berlangsung 2 petang ini di
Brickfields dibatalkan.

Penganjur yang dipetik Malaysiakini memberitahu, keputusan tersebut dibuat setelah pihak mereka dihubungi Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menasihatkan agar himpunan tersebut tidak diteruskan.

"Anwar Ibrahim telah menelefon saya dan minta batalkan perhimpunan tersebut.

"Beliau janji untuk membantu masyarakat India. Beliau berikan kami temu janji untuk bertemu dengannya pada minggu depan untuk membincangkan isu-isu ini," kata penganjur Shankar Ganesh menurut laporan itu.

Selain permintaan dari Anwar, Shankar berkata, himpunan esok juga dibatalkan pihaknya gagal mendapatkan permit polis bagi mengadakan himpunan yang dijadualkan itu.

Terdahulu banyak pihak menyuarakan kebimbangan bantahan demi bantahan terhadap kerajaan bakal menimbulkan suasana kurang senang antara etnik di negara ini.

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador dalam suatu kenyataan mebggesa agar semua pihak "tidak memainkan isu sensitif yang boleh memecahkan keamanan dan ketenteraman awam."

Tegasnya semua bentuk tindakan yang boleh memburukkan keharmonian termasuklah perhimpunan-perhimpunan aman yang dirancang hendaklah dihentikan serta-merta.

Sementara itu dua individu ditahan malam tadi susulan penganjuran himpunan di lokasi sama petang semalam

Pemangku Ketua Polis Daerah Brickfields, Superintendan Arifai Tarawe berkata, kedua-dua mereka di untuk direkod percakapan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields.

"Mereka akan disiasat mengikut Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012," katanya.

Pihak polis memberitahu, perhimpunan itu berlangsung tanpa mendapat kebenaran tuan tanah iaitu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
 

Post a Comment

0 Comments