Pilihan raya adil: ERC cadang tubuh badan khas




MALAYSIA sedang menuju kepada satu sistem pilihan raya yang lebih adil seperti dijanjikan sebelum ini.

Ia susulan cadangan terbahru dari Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihanraya (ERC) agar kerajaan mewujudkan sebuah badan khas bagi menentukan persempadanan kawasan untuk pilihan raya.

Pengerusi ERC, Tan Sri Ab Rashid Ab Rahman berkata, penubuhan badan khas itu penting bagi mengasingkan tugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang sering berdepan kritikan ketika melakukan proses persempadanan.

Ab Rashid Ab Rahman |Sumber- theStar
"Kita nak tentukan badan yang kita pilih dan wujudkan ini  untuk membuat cadangan yang sesuai mengikut fakta yang ada," jelasnya.

Ab Rashid sebelumnya hadir pada Sesi Libat Urus Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya Peringkat Negeri Kedah dan Perlis di Alor Setar, Kedah pada Rabu.

Mengulas lanjut, Ab Rashid berkata, badan tersebut bukan bersifat kekal sebaliknya hanya beroperasi setiap lapan tahun sekali dan mungkin dianggotai individu yang berbeza.

Banyak negara maju seperti di United Kingdom, Australia, New Zealand dan Kanada jelasnya telah mempraktikkan pendekatan seperti itu.

Pada Ogos tahun lalu, Kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) menubuhkan ERC. Jawatankuasa itu diberi masa dua tahun untuk menyiapkan tugasnya termasuk mengemukakan laporan dan perakuan kepada kerajaan untuk diperhalusi dan dilaksanakan.

Jawatankuasa itu juga akan diberi kuasa menubuhkan jawatankuasa kerja yang perlu termasuk menggubal undang-undang pilihan raya dan undang-undang berkaitan selepas laporannya diterima dan diluluskan kerajaan.

Sementara itu, Ab Rashid juga berkata, pihaknya juga akan mencadangkan tempoh bertenang selama tiga hari diadakan sebelum proses membuang undi.

Dalam tempoh bertenang itu, kesemua parti menurutnya boleh menurunkan bendera, poster dan pengundi boleh pergi dengan fikiran tenang dan bersih pada hari mengundi.

Post a Comment

0 Comments