Nova 5T: Peranti padu dari Huawei


AKHIRNYA telefon pintar Huawei Nova 5T telah diperkenalkan. Malaysia dipilih sebagai lokasi pelancaran rasminya.

Model terbaharu ini sememangnya cukup mencuri tumpuan. Didatangkan dengan fitur berprestasi tinggi dan cukup menarik, ia dijual hanya pada harga telefon kelas pertengahan.

Apa yang paling istimewa dengan telefon pintar ini ialah ianya menawarkan lima kamera dalam satu peranti iaitu empat di bahagian belakang dan satu dibahagian hadapan.

Dilengkapi spesifikasi menarik
Kamera belakangnya mirip dengan apa yang ditawarkan pada peranti Huawei P30 apabila menggandingkan kamera utama 48MP F1.8 dari sensor Sony IMX586, kamera ultra lebar 16MP F2.2, kamera pengesan kedalaman 2MP F2.4 dan kamera makro F2.4.

Walaupun tidak menggunakan lensa dari Leica seperti digunakan pada peranti premium Huawei, gandingan empat lensa ini sudah cukup memberikan hasil cukup menarik.

Mod AIS Super Night membolehkan anda berkarya pada waktu malam dalam persekitaran gelap tanpa sebarang masalah.

Empat kemera di bahagian belakang
Sementara itu, dibahagian hadapan, peranti ini dilengkapkan dengan kamera hadapan dengan keupayaan 32 megapiksel F2.0.

Ia diletakkan dibahagian sudut atas kiri skrin berukuran 6.26-inci jenis LCD dengan resolusi HD plus.

Dari sudut kemampuan peranti, Nova 5T dikuasakan pemproses Kirin 980 octa core, hadir dengan 8GB ram dan storan 128GB. Ia dilengkapi bateri sebesar 3,750mAh yang menyokong pengecasan pantas Huwei SuperCharge 22.5W melalui USB-C.

Jika anda peminat muzik, Nova 5T tidak lagi memiliki jek audio 3.5mm. Ia juga tidak menggunakan pengimbas capjari di skrin seperti kebanyakkan peranti terkini sebaliknya menggunakan pengimbas capjari di sisi, bergabung dengan butang kuasa.

Didatangkan dengan tiga pilihan warna
Peranti ini menjalankan EMUI 9.1 berasaskan Android Pie dan mempunyai sensor infra merah untuk menjadikannya sebagai alat kawalan jauh.

Nova 5T datang ke Malaysia dengan tiga pilihan warna, iaitu Hitam,
Crush Blue atau Midsummer Purple. Ia boleh dibeli secara pra-tempah bermula Khamis (29 Ogos 2019) dan hanya akan mula dijual di kedai-kedai di seluruh negara bermula 7 September depan.

Dijual pada harga RM1,599. Tempahan boeh dibuat menerusi Stor Online Huawei dan laman khas tempahan awal Nova 5T.
 

Post a Comment

0 Comments