Masa depan Red Bull KTM ditangan Pedrosa




KINI masa depan pasukan Red Bull KTM dilihat bergantung kepada bekas pelumba Repsol Honda, Dani Pedrosa.

Pasukan berpengkalan di Austria itu dilapor sangat berharap dapat memujuk pelumba veteran itu menjadi pelumba baharu menggantikan posisi Johann Zarco pada saingan Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) musim depan.

Pengarah teknikal pasukan itu, Sebastian Risse mengakui khidmat Pedrosa sangat diperlukan memandangkan pengalaman luas-nya selepas hampir 18 tahun bersama pasukan Repsol Honda.

Dani Pedrosa kini pengunggang ujian KTM
Sebagai permulaan Red Bull KTM mahu Pedrosa meneliti jentera RC16 yang dilihat gagal memberi impak pada saingan MotoGP musim ini selepas menyaksikan Zarco dan rakan sepasukan, Pol Espargaro tidak bersaing seperti yang diharapkan.

“Saya tidak pasti apa yang Pedrosa boleh sumbangkan kepada pasukan tetapi saya percaya pengalaman yang ada padanya dapat membantu kami memperbaiki segala kelemahan yang ada pada jentera RC16 untuk mengharungi saingan musim depan.

“Buat masa ini, dia telah memberi banyak nasihat buat barisan pelumba kami seperti Zarco, Espargaro dan Mika Kallio. Tidak keterlaluan sekiranya saya anggap masa depan pasukan ini terletak di tangan 
Pedrosa,” katanya

Sebagai rekod, Pedrosa mengumumkan persaraan secara rasmi musim lalu. Pelumba Spanyol yang memenangi 54 kejuaraan Grand Prix (GP) ketika bersama Repsol Honda itu sekarang merupakan penunggang ujian bagi pasukan Red Bull KTM.

Red Bull KTM pada awal minggu ini mengesahkan kontrak Zarco ditamatkan lebih awal setelah mendapat persetujuan daripada kedua-dua pihak. Kontrak asal sepatutnya tamat pada penghujung musim 2020.

Post a Comment

0 Comments