SELANG beberapa hari lagi, negara akan menyambut ulangtahun kemerdekaan yang ke-62.
Sudah menjadi kelaziman, rakyat yang cintakan negara akan berkongsikan perasaan gembira mereka dengan mengibarkan jalur gemilang.
Namun kebelakangan ini lain pula kisahnya, isu bendera kebanggaan negara itu dipasang terbalik mencuri perhatian warganet. Jika sengaja dipasang secara terbalik, ia sudah tentu perbuatan biadap.
Rakyat dinasihatkan tidak mudah terpengaruh |
Ahli Dewan Negeri Kota Anggerik, Najwan Halimi dipetik laporan Selangorkini menyuarakan kebimbangan ada pihak sengaja menghangatkan suasana bagi membangkitkan rasa resah dikalangan rakyat.
“Saya juga dimaklumkan terdapat kes pengedar secara tidak sengaja mencetak bendera terbalik, kes ini sebenarnya sudah selesai.
“Hentikanlah daripada sebar perkara tidak benar seolah-olah kita sengaja mahu mewujudkan provokasi terutamanya menyentuh sensitiviti perkauman dan agama,” katanya dipetik.
Menurut Najwan lagi, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga telah menjelaskan beberapa berita yang tular baru-baru ini antaranya kisah lamayang disiar kembali seolah-olah mahu menimbulkan kemarahan orang awam
“Merdeka bukan sekadar laungan sahaja tetapi kita perlu menzahirkannya dengan semangat dan penuh rasa cinta
"Kerajaan Selangor dan juga Malaysia menolak keras provokasi terutamanya cubaan untuk memecah belahkan rakyat,”tambahnya.
Media sebelum ini dilapor telah menyiasat beberapa kejadian pengibaran Jalur Gemilang secara terbalik yang dilaporkan.
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, mana-mana pelaku boleh didakwa di bawah peruntukan Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 atau Sekyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988.
Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak menyebabkan bangkitan marah dan pecah keamanan membawa hukuman penjara selama tempoh yang boleh sampai dua tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya sekali.
Bagi kesalahan di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955 boleh dihukum denda tidak melebihi RM100 manakala Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu menggunakan kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian secara tidak wajar boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya sekali.
0 Comments