Gundala: Dari komik ke festival filem




FILEM Gundala yang diadaptasi dari komik adiwira terkenal indonesia bakal dipertandingkan di Festival Filem Antarabangsa Toronto 2019 pada 5 hingga 15 September depan.

Menjadi satu-satunya filem dari Asia Tenggara yang terpilih untuk tayangan Midnite Madness pada festival itu nanti, Gundala bakal bersaing dengan filem-filem hebat seperti Joker karya Todd Philips, Radioactive (Marjane Satrapi) dan Knives Out lakonan Daniel Craig dan Chris Evans bagi merebut trofi People’s Choice Awards.

Menariknya, filem tersebut turut dibintangi aktor terkenal tempatan, Bront Palarae.
Bront Palarae
 
 
Bront yang melakonkan watak antagonis utama bernama Pengkor dalam filem arahan Joko Anwar tersebut berkata, biarpun Gundala bukan sebuah produksi tempatan sebaliknya filem terbitan Indonesia, pencapaian awal tersebut membuat dirinya serta seluruh produksi filem tersebut sangat teruja.

“Sebenarnya saya cukup berbesar hati kerana dijemput untuk sama-sama terlibat sebagai pelakon dalam filem adiwira pertama yang diterbitkan di Indonesia. Lebih seronok, saya berpeluang bermain dengan pelakon-pelakon hebat seberang seperti Cecep Arif Rahman, Abimana Aryasatya dan Luqman Sardi,” jelasnya dipetik Kosmo.

Sebagai rekod, Gundala adalah karakter komik yang sangat popular di Indonesia, ia dicipta oleh Harya Suraminata (Hasmi) yang terinspirasi dengan tokoh legenda Jawa, Ki Ageng Selo.

Ki Ageng Selo merupakan sosok sakti yang digambarkan mampu menangkap petir dengan tangannya. ‘Gundala’ sendiri diambil dari bahasa Jawa ‘Gundolo’ yang membawa maksud petir.

Filem ini bakal ditayangkan kepada umum di Indonesia bermula 29 Ogos nanti.

Post a Comment

0 Comments