Elsa, keluarga baru Zoo Melaka


ZOO Melaka menerima ahli keluarga baru malam tadi apabila seekor Harimau Putih Bengal selamat dipindahkan kesana.

Harimau berusia satu tahun sembilan bulan itu mempunyai berat dianggarkan 100 kilogram dipindahkan menerusi kerjasama strategik antara Zoo Melaka dengan Sunway Lagoon Wildlife Park,

Dinamakan sebagai Elsa, ia dijangka bakal menjadi ikon baharu kepada pusat pelancongan itu.


“Ketibaan Harimau Putih Bengal baka India ini diharap dapat merancakkan sambutan Tahun Melawat Melaka 2019 bagi menarik lebih ramai pengunjung terutama pada musim cuti sekolah pada akhir tahun ini.

Elsa bakal dikuarantin terlebih dahulu
“Kerjasama strategik bersama Sunway Group serta institusi Zoo di Malaysia dan Asia Tenggara ini juga bakal menjanjikan lebih banyak pertukaran haiwan akan diumumkan dalam masa terdekat ini,” kata Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Mohd Rafee Ibrahim.

Difahamkan, buat masa ini Elsa akan dikuarantin terlebih dahulu di Zoo Melaka dan dijangka akan dilepaskan ke ruangan pameran menjelang sambutan Hari Malaysia bermula 14 September ini.

Zoo Melaka ketika ini mempunya lebih 500 ekor haiwan daripada 183 spesies.

"Kami akan cuba mendapatkan seekor harimau putih jantan menerusi kerjasama strategik bersama Batu Secret Zoo di Surabaya, Indonesia bulan depan.

“Antara haiwan baharu dijangka diterima di Zoo Melaka termasuk singa jantan dan betina, badak air, seladang, tapir, gajah dan burung merak,”tambah Mohd Rafee lagi.
 

Post a Comment

0 Comments