Demi Islam, KDN rampas al-Quran tak lulus



DEMI menjaga kesucian Islam, Kementerian Dalam Negeri (KDN) negeri Kedah bertindak merampas 2,996 naskhah al-Quran dan Muqaddam bernilai kira-kira RM65,382 di negeri itu.

Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan (PKK), Zaki Mohamed berkata, tindakan itu dibuat setelah mendapati ada sebahagian Al-Quran yang dijual di premis sekitar Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam mempunyai cara cetakan yang tidak mengikut ketetapan.

"Al-Quran dan Muqaddam ini dirampas selepas didapati menggunakan tulisan rumi termasuk ada dicetak tidak mengikut Resm Uthmani seperti diguna pakai kerajaan Malaysia.

“Semuanya tidak mendapat kelulusan Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan al-Quran (LPPPQ)," jelas.

Zaki turut menjelaskan, kesemua rampasan itu termasuk al-Quran digital, Muqaddam dan bingkai ayat suci bakal dilupuskan dengan cara membakar secara tertutup sebelum abunya dilepaskan ke laut.

"Pelupusan ini dilakukan selepas mendapat kelulusan LPPPQ dan pusat pelupusan termasuk kita perlu meminta kerjasama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) atau Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

"Kita turut mengharapkan orang ramai menghantar al-Quran yang mahu dilupuskan kepada PKK KDN supaya ia dapat dilupuskan mengikut kaedah digariskan dalam Islam, jangan ambil mudah kerana kita perlu mengikut adab menghormati kalam Allah,” tambahnya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, umat Islam di negara ini digesa agar berhati-hati membeli al-Quran kerana dibimbangi ia dibaca dengan bacaan salah seterusnya membawa makna salah.
 

Post a Comment

0 Comments