Cemas berdepan amukan gajah di Gua Musang


SUDAH sampai masanya manusia merenung kesilapan diri sendiri. Terbukti sikap tamak manusia telah membuatkan dunia huru hara.

Kebelakangan ini kita sering disajikan dengan laporan haiwan-haiwan liar mula berkeliaran di penempatan manusia, situasi itu mungkin berpunca dari penerokaan hutan keterlaluan.

Terbahru, tujuh sekeluarga di Gua Musang berdepan detik cemas, seekor gajah jantan liar memasuki kawasan kampung dan mengelilingi rumah mereka.

Seorang penduduk orang asli berkata, gajah liar itu menghampiri dan mengelilingi rumah mereka pada kira-kira jam 6 pagi sebelum beredar ke hutan berhampiran sejam kemudian.

"Kami terdengar gajah itu menjerit lalu menjenguk melalui tingkap dan ternampak ada seekor gajah. Kami ketakutan tetapi bernasib baik gajah terbabit kemudiannya beredar selepas keliling rumah," kata Hussin Selik, 51 tahun dipetik laporan Sinar.

Sebagai rekod, negara baru-baru ini digemparkan dengan kemunculan Awang Besul, seekor harimau liar yang berkeliaran di sebuah kampung di Terengganu.

Pada 23 julai lalu pula penduduk di Lavender Heights di Senawang, gempar dengan kehadiran seekor tapir yang berkeliaran di kawasan kediaman mereka.

Dalam pada itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Orang Asli (MPKKOA) Kampung Aring 5, Asrul Hussin, 31, berkata masalah ancaman gajah liar seperti berlaku pagi tadi bukan perkara baru.

Ia jelasnya telah membuatkan kehidupan penduduk setempat tidak tenteram serta menyebabkan mereka sentiasa berada dalam ketakutan setiap masa.

Walaupun Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) daerah pernah datang melakukan siasatan susulan kejadian sebelum ini, beliau kecewa kerana belum ada tindakan menghalau gajah tersebut dijalankan.

Bangkai gajah ditemui di Gua Musang | Sumber - Malaysiakini
Sebenarnya isu kemusnahan habitat haiwan liar ini bukan isu remeh, media sebelum ini menyiarkan isu penerokaan hutan melampau di negeri itu.

Laporan oleh portal Malaysiakini pada Oktober 2016 yang melihat sendiri kemusnahan hutan di negeri itu bersama pengamal media serta NGO berkaitan alam sekitar mendapati kemusnahan hutan di negeri Kelantan melebihi apa yang boleh digambarkan.

Didalam belantara tebal tersebut, pokok ditebang dan sumber air dimusnahkan. Malah  bangkai gajah dewasa yang telah reput dan berulat turut ditemui berhampiran Pos Bering.

Dengan kemusnahan habitat semula jadi hidupan liar itu, bukanlah perkara pelik apabila gajah mengamuk masuk kampung.

Post a Comment

0 Comments