KERAJAAN PERSEKUTUAN kini sedang giat menjalankan kajian pelaksanaan Sistem Alamat Nasional (NAS).
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, pelaksanaan NAS merupakan langkah strategik kerajaan untuk melindungi kedaulatan data geospatial negara selain memastikan data alamat diuruskan secara domestik, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada teknologi luar.
Jelasnya, kebergantungan kepada teknologi luar bukan sahaja membebankan negara dari segi kewangan, malah meningkatkan risiko pengurusan maklumat infrastruktur kritikal negara (NCII) akibat ketiadaan sistem alamat yang bersepadu.
"Malaysia kini menghadapi cabaran besar dalam pengurusan alamat tidak berstruktur dan tidak seragam khususnya di luar bandar, kampung tradisional dan kawasan bandar yang padat.
"Ketiadaan sumber alamat diiktiraf oleh kerajaan sebagai rujukan utama menyebabkan data alamat diuruskan secara berasingan oleh pelbagai agensi yang membawa kepada kebergantungan teknologi luar.
"Malaysia dianggarkan mengalami ketirisan pendapatan lebih RM700 juta setahun akibat kebergantungan kepada perkhidmatan geospatial dan navigasi utama dari luar negara ,” katanya.
Fahmi berkata begitu pada ucapan di Majlis Pertukaran Dokumen Perjanjian Inisiatif Kampung Digital Melaka antara MCMC dan Kerajaan Negeri Melaka di Kuala Lumpur pada Isnin yang turut dihadiri Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusof.
Sementara itu Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) telah memulakan kerjasama strategik dengan pelbagai agensi, termasuk Pihak Berkuasa Tempatan, Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM), serta pemain industri geospatial tempatan dalam menjayakan misi NAS ini
Apabila siap kelak, ia akan menjadi sistem tunggal bagi sumber alamat yang autoritatif dan diiktiraf oleh kerajaan sebagai rujukan utama untuk mengurus lebih daripada 12 juta alamat di seluruh negara, melalui kerjasama erat antara pelbagai pihak berkepentingan.
"NAS juga telah dikenal pasti sebagai ‘Needle Mover’ di bawah Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia dan Dasar 4IR Negara untuk merealisasikan aspirasi kerajaan menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi," jelas Fahmi.
0 Comments