KERAJAAN Negeri Selangor terus memperkukuh sektor perkhidmatan sosial di negeri itu apabila menyalurkan tiga jenis geran rumah perlindungan wanita, badan bukan kerajaan dan pusat kebajikan tahun ini.
Exco Pembangunan Wanita & Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari berkata, geran dengan peruntukan RM373,000 itu selari Rancangan Selangor Pertama Tema Strategik 2 – Peningkatan Kesejahteraan dan Keterangkuman Sosial, serta hasrat Kerajaan Negeri untuk Kita Selangor Maju Bersama.
“Sumbangan ini bertujuan menyokong dan membantu pengurusan rumah perlindungan dan kebajikan untuk meningkatkan perkhidmatan mereka terutama daripada aspek fasiliti dan operasi.
“Semoga geran ini dapat memberi manfaat kepada penerima dan penjaga serta golongan sasar yang dijaga,” katanya.
Anfaal sebelumnya merasmikan Majlis Penyerahan Geran Kebajikan dan Wanita Selangor di Foyer Setiausaha Kerajaan Negeri di Shah Alam pada Khamis.
Mengulas lanjut beliau menjelaskan, daripada jumlah itu 16 pusat kebajikan bawah program Pusat Kebajikan Lestari menerima RM150,000 bertujuan memberdaya pusat kebajikan berdaftar dan beroperasi di Selangor dengan memberikan dana untuk pembelian peralatan perubatan dan kesihatan
Tujuh persatuan bawah program Sinergi Prihatin juga menerima RM150,000 manakala RM73,000 pula disalurkan kepada enam rumah perlindungan wanita untuk membantu dan menambah baik rumah tersebut terutama daripada segi operasi yang lebih cekap.
0 Comments