PROSES persempadanan kawasan antara Selangor dan Kuala Lumpur dijangka dimuktamadkan dalam tempoh dua tahun lagi.
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari pada satu sidang media di Shah Alam pada Rabu berkata, Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) ketika ini sedang melaksana kerja pengukuran yang teliti.
Ia kemudian akan disusuli perjanjian bersama bagi dimuktamadkan persempadanan antara dua negeri itu.
"Kita mahu elakkan (sempadan) melintasi dapur rumah, beranda rumah, termasuk premis tertentu. Kita akan cuba jelaskan sempadan," katanya.
Amirudin pada Februari lalu menjelaskan, penetapan sempadan itu adalah langkah penting kerana membabitkan kutipan serta pembayaran cukai, penguatkuasaan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan penyelenggaran utiliti antara kedua-dua negeri.
Bagaimanapun usaha penetapan persempadanan antara Selangor dan Kuala Lumpur adalah rumit kerana melibatkan premis dan kawasan yang telah tepu bina.
Untuk rekod, Perjanjian Penyerahan Kuala Lumpur yang sebelumnya adalah ibu negeri Selangor sebagai Wilayah Persekutuan dimeterai di Istana Negara pada 1 Februari 1974
Selepas Kuala Lumpur menjadi Wilayah Persekutuan secara rasmi, kesemua DUN Selangor yang terdapat di Kuala Lumpur dimansuhkan, manakala Parlimen dikekalkan selepas disusun semula.
Sementara itu, Amirudin ketika ditanya sama ada Selangor berhasrat menuntut kembali Kuala Lumpur dibawah pentadbirannya berkata, sebagai menghormati perjanjian penyerahan wilayah itu kepada Kerajaan Persekutuan yang ditandatangani pada 1974, kerajaan Selangor tidak berhasrat melakukan perkara itu.
Ini kerana jelasnya, isi perjanjian berkenaan tertakluk kepada beberapa syarat, antaranya keberadaan pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan dan kedudukan bangunan Parlimen serta kewujudan kawasan Parlimen di Kuala Lumpur.
"Kita tunggu mana-mana pemimpin mahu alih Parlimen (ke kawasan lain), dan kita boleh memohon semula Kuala Lumpur sebagai daerah (baharu) Selangor," katanya.
0 Comments