MALAYSIA Rail Link Sdn Bhd (MRL) diarahkan segera melaksanakan pelan mitigasi bagi menyelesaikan masalah banjir di sekitar kawasan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
Menterinya, Anthony Loke di Dewan Rakyat pada Rabu berkata, beliau mengambil maklum aduan berkaitan ECRL yang didawa menjadi punca banjir teruk di Pasir Puteh, Kelantan yang kini dilanda Monsun Timur Laut (MTL).
"Sekarang ini memang musim banjir. Saya ucapkan simpati saya kepada rakyat Pantai Timur khususnya dilanda banjir besar ketika ini.
"Memang Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) pun terjejas baru saya dapat laporan tadi, landasan KTMB dibanjiri...tidak boleh bergerak.
"Jadi, kalau mana-mana kawasan yang dikatakan banjir sebab projek ECRL, saya minta pihak MRL untuk turun secepat mungkin dan buat segera.
"Kita ada mitigasi bagaimana membuat tebatan banjir supaya isu ini dapat diselesaikan dan meringankan beban rakyat di sekeliling kawasan projek itu," katanya.
Jumaat lalu, media melaporkan lebih 1,000 penduduk di Kampung Banggol Pak Esah, Pasir Puteh terjejas apabila terowong pembinaan ECRL di kampung berkenaan ditakungi banjir akibat hujan lebat.
Menurut mereka projek itu menyebabkan air naik terlalu cepat selain lambat surut.
Sementara itu sebagai menjawab gesaan seorang Ahli Parlimen yang meminta beliau turun padang melihat isu banjir di sekitar jajaran ECRL Anthony berkata beliau kerap turun padang memantau projek berkenaan termasuk jajaran di sekitar negeri pembangkang seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah..
0 Comments